Perkara sunat wuduk antaranya ialah :-
1. Membaca Ta’awuz “ A’uzubbillah “ dan Basmalah “ Bismillahirahmanirrahim ” di awal membasuh dua tangan. Jika terlupa membacanya bolehlah dibaca ketika teringat dengan syarat belum selesai.
2. Membasuh kedua-dua tapak tangan hingga ke pergelangan tangan sebelum berkumur.
3. Jika ragu ia tentang kesucian kedua-dua tapak tangannya di sunat membasuh kedua-duanya sebanyak tiga kali sebelum dimasukkannya ke dalam bijana air yang kurang daripada dua qollah. (sunat ini lain dari sunat 2 di atas).
4. Berkumur-kumur selepas membasuh dua tapak tangan. Berkumur-kumur ialah dengan memasukkan air ke dalam mulut sama ada mengedarkan, atau meluahkan ataupun tidak. Yang lebih sempurna ialah diedarkan dan meluahkan.
5. Menghisap air ke dalam hidung selepas berkumur-kumur. Iaitu memasukkan air ke dalam hidung dihisapkannya masuk ke batang hidung dengan nafasnya kemudian dikeluarkan atau tidak. Yang sempurnanya hendaklah diluahkannya dan dilakukan serentak antara berkumur-kumur dan menghisap air ke hidung, dengan tiga kali cebuk yang mana ia berkumur-kumur daripada tiap-tiap satu daripadanya kemudian menghisap air ke dalam hidung.
6. Menyapu keseluruhan kepala. Sedangkan menyapu sebahagian daripada kepala adalah wajib (seperti yang telah dijelaskan dahulu). Jika seseorang tidak mahu menanggalkan sesuatu yang dipakai di kepalanya seperti serban, kopiah atau seumpamanya bolehlah ia menyempurnakan sapunya dengan menyapu ke atasnya setelah menyapu sebahagian daripada kepalanya.
7. Menyapu keseluruhan kedua telinga zahir dan batin dengan air yang bukan digunakan semasa menyapu kepala.
Cara yang sempurna :
Cara yang sempurna :
Memasukkan dua hujung jari telunjuknya ke dalam lubang telinga secara serentak (kiri dan kanan) dan diedarkan keduanya ke atas segala lipatan telinganya dan dilalukan ibu tangan di atas belakang telinga, kemudian diletakkan dua tapak tangan yang basah pada kedua-dua telinganya.
8. Menyelat janggut, jambang lelaki yang tebal dan lain-lain bulu yang memadai dibasuh pada zahirnya. Janggut lelaki yang jarang dan janggut perempuan atau khunsa wajiblah diselati.
Caranya :
Caranya :
Dengan memasukkan semua anak jari di bawah janggutnya. Yang afdhalnya menggunakan anak jari tangan kanan.
9. Menyelati semua anak jari kedua-dua tangan dan kaki jika air mudah sampai di celah-celahnya walaupun tanpa menyelati.
(a) Jika air tidak sampai kecuali dengan diselati disebabkan anak-anak jari itu rapat-rapat, wajiblah diselati supaya air sampai di celah-celah anak jari.
(b) Jika anak jarinya melekat antara satu sama lain, haram menceraikannya jika bertujuan untuk menyelatinya.
Cara menyelatinya :
(i) Dengan dimasukkan anak jari tangan kanan pada celah-celah anak jari tangan kiri dari pihak belakang atau sebaliknya iaitu dengan dimasukkan anak jari tangan kiri pada celah-celah anak jari tangan kanan dari pihak belakang.
(ii) Bagi anak jari dua kaki dimulai dengan memasukkan anak jari kelingking tangan kiri ke celah kelingking kaki kanan melalui tapak kaki (bawah kaki) dan di akhiri pada kelingking kaki kiri.
10.Mendahului tangan dan kaki yang di sebelah kanan daripada yang kiri. Makruh mendahulukan yang kiri dari yang kanan, dan membasuh serentak walaupun kedua-duanya mudah dilakukan dengan serentak kerana keadaan asalnya tidak mudah dibasuh serentak. Anggota yang mudah dibasuh kedua-duanya serentak (kiri dan kanan) seperti dua pipi, dua tapak tangan, dan dua telinga, hendaklah dilakukan serentak dan tidak mendahului yang kanan dari yang kiri, serentak dan tidak mendahului yang kanan dari yang kiri.
11. Membasuh dan menyapu sebanyak tiga kali.
(a) Dikira tiga kali bagi air yang mengalir dengan melalui tiga kali olak (perlarian) air ke atas anggota berkenaan, dan bagi air yang tenang dengan di gerak-gerakkan anggota sebanyak tiga kali.
(b) Makruh melebihi atau kurang tiga kali.
12. Muwalat
(a) Iaitu berturut-turut. Tidak berlaku muwalat jika berlaku penceraian yang lama antara dua anggota atau antara bilangan basuhan atau antara beberapa suku anggota yang sama.
(b) Penceraian yang masih dinamakan muwalat ialah apabila dibasuh sebahagian atau satu anggota sebelum kering basuhan sebahagian atau anggota yang terdahulu, atau dibasuh satu anggota di kali yang kedua sebelum kering basuhannya di kali yang pertama, atau dibasuh anggota di kali yang ketiga sebelum kering basuhannya di kali yang kedua.
(c) Pengiraan kering atau tidak, antara dua anggota, antara beberapa kali membasuh dan antara beberapa bahagian satu anggota berdasarkan cuaca yang sederhana – dari segi kelajuan angin, keadaan dan masa.
(d) Syarat muwalat yang menjadi sunat di atas adalah bagi selain daripada wuduk yang dilakukan oleh orang yang berada dalam darurat. Bagi seseorang yang berada dalam darurat, wajiblah bermuwalat bagi mengurangkan hadas yang dihidapinya.