Fardu wuduk ada 6 perkara :-
1. Niat.
Niat mengambil wuduk hendaklah ketika mula-mula membasuh sebahagian daripada mukanya.
(a) Niat tidak disyaratkan berkekalan sehingga membasuh seluruh muka.
(b) Niat sebelum membasuh muka tidaklah diakui, seperti niat ketika membasuh tangan atau berkumur-kumur atau menghisap air ke hidung jika tidak terbasuh sebahagian daripada muka seperti dua bibir semasa berkumur-kumur atau menghisap air ke hidung. Adapun niat semasa terbasuh sebahagian daripada muka tatkala berkumur-kumur atau memasukkan air ke dalam hidung adalah diakui tanpa sebarang huraian (tafsil). Cuma yang perlu kepada huraian (tafsil) ialah berhubung dengan wajib kembali membasuh juzu’ atau bahagian yang sudah terbasuh itu sebagaimana berikut ; jika diniatkan sebagai membasuh muka, tidak wajib kembali membasuhnya. Sekiranya diniatkan sunat, atau diniatkan sunat dan membasuh muka, atau niatnya secara mutlak ; wajib diulangi membasuh pada juzu’ yang sudah terbasuh itu.
(c) Lafaz niatnya seperti :
(i) نويت رفع الحدث الأصغار لله تعالى
“ Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah SWT ”.
atau ;
(ii) نويت الوضوء لله تعالى
“ Sahaja aku mengambil wuduk kerana Allah SWT ”.
2. Membasuh muka.
(a) Had muka ialah antara tempat tumbuh rambut hingga kesudahan dagunya dan dari anak telinga kanan ke anak telinga kiri.
(b) Bulu-bulu yang terdapat di kawasan had muka di atas sama ada jarang atau lebat, wajiblah disampaikan air kepadanya hingga ke kulit.
(c) Janggut dan jambang lelaki yang lebat sekira-kira tidak menampakkan kulit di bawahnya, memadailah dengan membasuh zahirnya. Jika ia jarang dan menampakkan kulit di bawahnya wajiblah menyampaikan air hingga kepada batin dan kulit.
(d) Janggut dan jambang bagi orang perempuan dan khunsa wajiblah disampaikan air hingga ke kulitnya walaupun janggut dan jambang mereka tebal, kerana kes seperti ini jarang berlaku, malahan sunat mencukurnya dan mencukur bulu-bulu yang seumpamanya.
(e) Membasuh muka tidak dapat tidak hendaklah dengan membasuh sebahagian daripada kepala, tengkok dan di bawah dagu.
3. Membasuh kedua tangan hingga ke siku.
(a) Bagi orang yang dijadikan oleh Allah dua tangan yang tidak bersiku hendaklah ia membasuh kadar keduanya.
(b) Wajib juga membasuh sesuatu yang berada di atas dua tangan seperti bulu (walaupun tebal) zahir dan batin, atau daging yang tumbuh padanya atau jari yang lebih dan juga termasuk kuku.
(c) Wajib juga menghilangkan sesuatu yang kotor yang terdapat di bawah kuku yang menegah air sampai ke bawah kuku, begitu juga wajib membuang duri yang terdapat di tangannya.
(d) Tidak wajib menghilangkan keruping kudis (kulit kudis) walaupun mudah dibuang.
4. Menyapu satu juzu’ dari kulit kepala atau menyapu sebahagian rambut kepala yang berada dalam had kepala walaupun seurat atau sebahagiannya.
(a) Tidak memadai menyapu di atas rambut yang disanggul sekiranya ditarik ia terkeluar dari hak kepala.
(b) Menyapu kepala adalah memadai dengan menyapu di mana-mana bahagian kepala walaupun bahagian itu merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika membasuh muka.
(c) Tidak disyaratkan menyapu kepala dengan menggunakan tangan, oleh itu memadai menyapunya dengan kayu atau seumpamanya.
(d) Membasuh kepala atau meletakkan tangannya yang basah di kepala walaupun tanpa menggerakkan tangannya adalah memadai.
5. Membasuh dua kaki hingga dua buku lali jika tidak memakai kasut.
(a) Jika seseorang memakai kasut, wajiblah menyapu kasutnya atau membasuh kakinya.
(b) Wajib membasuh sesuatu yang berada di atas kedua-dua kakinya seperti bulu dan seumpamanya seperti bab membasuh kedua tangan hingga ke siku.
6. Tertib.
(a) Tertib ini mengikut susunan yang dihuraikan di atas.
(b) Jika terlupa untuk melakukannya secara tertib, tidaklah dikira pada tempat yang tidak mengikut tertib.
(c) Jika empat orang mewudukkan seorang dengan izinnya secara serentak membasuh semua anggota wuduk, terangkanlah hadas bagi mukanya sahaja sekiranya ada niat ketika membasuh muka.
(d) Seseorang yang berhadas kecil dan menyelam di dalam air dengan niat wuduk adalah terangkat wuduknya walaupun dia tidak diam lama di dalam air, kerana tertib itu berhasil pada beberapa detik yang sedikit.