BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Perkara-perkara Yang Membatalkan Wuduk

Perkara membatalkan wuduk ada 5 :-

1.    Keluar sesuatu dari salah satu daripada dua jalan dengan yakin, dengan syarat seseorang itu masih hidup lagi nyata. Tidak batal wuduk jika keluarnya daripada orang yang mati, dan tidak batal wuduk bagi khunsa musykil yang mempunyai dua alat kecuali keluar sesuatu daripada kedua-dua kemaluannya. 

Keterangan :
(i)            Di maksudkan dengan keluar sesuatu yang boleh membatalkan wuduk ialah sama ada keluarnya beradat, seperti tahi dan kencing, atau yang jarang-jarang berlaku, seperti darah atau batu atau darah buasir walaupun buasirnya belum keluar. Batu tersebut sama ada terjadi daripada najis atau batu yang ditelan kemudian keluar melalui kemaluannya, sama ada yang keluar itu merupakan najis atau benda suci, seperti cacing walaupun mengeluarkan kepalanya sahaja kecuali air mani.

(ii)           Tidak batal wuduk dengan keluar mani di sebabkan bermimpi oleh orang yang tetap papan punggungnya atau berkhayal atau memikirkan tentang syahwat atau memasukkan zakar ke faraj binatang atau perempuan yang kecil atau muhrim, tetapi di wajibkan mandi.

2.    Tidur yang tidak tetap papan punggungnya, atau tidur secara berdiri atau tidur atas belakang walaupun tetap papan punggung, seperti dengan dilekapkan dengan bantal atau sebagainya seperti tiang.

3.    Hilang akal disebabkan oleh tersangat sakit, atau mabuk, atau gila, atau pitam, atau gila babi, atau seumpamanya, walaupun pada masa duduk yang tetap punggungnya.

4.    Menyentuh kulit perempuan yang bukan mahramnya tanpa berlapik, walaupun yang telah mati.
(a)  Sentuhan sesama jenis, atau sesama khunsa atau khunsa dengan lelaki atau khunsa dengan perempuan, tidaklah membatalkan wuduk.

(b)  Tidak batal wuduk dengan menyentuh rambut atau gigi atau kuku.

(c)  Di kehendaki dengan lelaki dan perempuan bagi perkara di atas ialah yang telah sampai “had syahwat” mengikut ‘uruf.

(d)  Yang di maksudkan dengan mahram ialah mereka yang haram berkahwin dengan sebab nasab (keturunan), atau susuan atau musaharah (berambil-ambilan) seperti menantu dan mentua.

5.    Menyentuh kemaluan manusia dengan tapak tangannya iaitu qubul walaupun yang sudah dikerat selagi ia di namakan qubul, dan duburnya. 

(a)  Yang di maksudkan dengan faraj atau kemaluan bagi lelaki ialah semua zakarnya tidak termasuk tempat tumbuh bulu, dan bagi perempuan ialah dua bibir farajnya yang bertangkup serta daging yang tumbuh di atas faraj mengikut pendapat yang muktamad di sisi Syeikh ar-Ramli, oleh yang demikian tidak termasuk tempat tumbuh bulunya.

Keterangan ;
Batal wuduk dengan menyentuh kemaluan manusia itu sama ada kemaluannya atau orang lain sama ada perempuan atau lelaki, sama ada kecil atau besar dan sama ada hidup atau mati.  

(b)  Menyentuh dubur iaitu menyentuh halaqah dubur anak adam.

(c)  Menyentuh :
(i)            Di maksudkan dengan tapak tangan ialah tapak tangan dengan semua perut anak jari.

(ii)           Tidak batal wuduk jika menyentuh dengan tepi tapak tangan, atau semua kepala anak jari, atau di antara anak jari ditekan sedikit.